Sunday, December 19, 2010

Berita Harian Online | Ramai gagal dapat kerja sesuai

Yang perlu diperbaiki: 
 komunikasi
penampilan diri 
penulisan resume.

Berita Harian Online | Ramai gagal dapat kerja sesuai
Sebahagian lepasan IPT tiada kemahiran komunikasi, kurang penampilan diri

PUTRAJAYA: Masih ramai lepasan universiti gagal mendapatkan pekerjaan yang bersesuaian berikutan tidak mempunyai beberapa kemahiran termasuk komunikasi, penampilan diri serta penulisan resume.
Pengarah JobsMalaysia, Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia, Kementerian Sumber Manusia, Rahmat Ismail, berkata berdasarkan maklumat daripada pelbagai pihak termasuk lepasan universiti serta majikan menunjukkan golongan itu mempunyai beberapa kelemahan seperti komunikasi dan penampilan diri yang menyebabkan mereka sukar mendapat pekerjaan sesuai.
“Masih ramai lepasan universiti memerlukan bantuan terutama dalam aspek penampilan diri, komunikasi dan penulisan resume untuk mendapatkan pekerjaan.

“Ini terbukti dengan tinjauan kita menunjukkan kira-kira 60 peratus daripada 1,984 responden tidak bersetuju bahawa lepasan universiti sudah boleh dianggap mempunyai kemahiran mencari pekerjaan dan sepatutnya tiada masalah untuk mendapat pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan,” katanya ketika ditemui pada Karnival Jom Cari, Kerja Azam Kerja, 1Malaysia di sini, semalam.

Berdasarkan semua maklum balas itu, beliau berkata, pihaknya mengubah pendekatan dalam karnival mencari kerja yang dianjurkan JobsMalaysia dengan menyediakan klinik graduan bagi membolehkan graduan mendapatkan nasihat dan panduan sebelum ke sesi temu duga.

“Selepas mendapat maklum balas semua pihak, kita menukar pendekatan, kalau dulu mereka boleh datang ke karnival anjuran kita dan terus ke temu duga, kali ini, kita membuat tapisan terlebih dulu. 
“Kita minta mereka memilih tiga jawatan yang ingin dimohon mengikut kelulusan masing-masing dan kita melihat mereka punya dokumen selain penampilan diri. 

“Contohnya, jika mereka datang dengan pakaian yang tidak bersesuaian, kita akan minta mereka hadiri klinik graduan yang kita buka supaya mereka tahu apa yang sebenarnya majikan mahukan dan apa yang perlu mereka lakukan.

“Ijazah tidak menjanjikan kita mendapatkan pekerjaan kerana pada masa ini ramai yang mempunyai ijazah tetapi yang membezakan lepasan universiti ini adalah kemahiran tambahan yang lain,” katanya.

Mengenai karnival yang berlangsung selama dua hari bermula 17 Disember itu, beliau berkata, kira-kira 3,000 orang yang mendapat temu duga untuk mencari pekerjaan.

Pada karnival itu, katanya, sebanyak 7,782 peluang pekerjaan ditawarkan daripada 40 syarikat seluruh negara.

“Pada hari pertama berlangsung seramai 55 orang mendapat pekerjaan manakala 343 lagi mendapat temu duga kali kedua dan hanya 120 orang yang gagal,” katanya.

FAKTA NOMBOR

7,782 pekerjaan - Ditawarkan pada Karnival Jom Cari, Kerja Azam Kerja, 1Malaysia 

0 komen:

Post a Comment

kLIK untuk ComeL


Powered By Blogger
Powered by Blogger.